Dan Kisah Kita !!

Hanya Engkau Yang Mampu & Hanya Aku Yang Tahu !!

Sunday, April 24, 2011

Ranjau Kehidupan

Assalamualaikum ...

Bertemu lagi, kali ini aku ingin membicarakan tentang kisah dugaan dan ketentuan. Seringkali kita mendengar bahawa selagi bergelar manusia selagi itu kita tidak dapat lari daripada masalah dan dugaan hidup. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Itulah kehidupan. Tapi sejauh mana kita mampu bertahan dan bersabar dengan setiap dugaan yang datang? Tidak semua manusia di atas muka bumi ini kuat dan tabah menghadapi cubaan dan rintangan. Tidak kuat mengharungi liku2 hidup yang penuh pancaroba.

Allah tidak pernah zalim kepada hamba-Nya. Setiap cubaan yang diberikan kepada hamba-Nya pasti ada hikmah disebaliknya. Bukankah yang baik itu daripada Allah dan yang buruk itu daripada kita sendiri? Pernah aku melihat manusia yang dilanda masalah ini bertimpa2 dan dia hanya tersenyum menghadapinya. Terdetik juga dihatiku, mampukah aku menjadi sekuat dan setabah dia dalam mengharungi liku kehidupan di dunia ini. Mampukah aku menjadi seorang manusia yang sabar dan kuat? Suamiku sering berkata dulu, dia sukakan semangatku, sukakan ketabahan dan kekuatan jiwaku. Tapi kini kekuatan dan ketabahan itu seolah2 sudah jauh pergi meninggalkan aku. Aku takut dengan bebayang sendiri.

Bagiku sukar untuk aku menilai diri sendiri. Tapi sejauh mana kebenaran kata2 suamiku tentang aku itu? Sedangkan aku sendiri tidak tahu adakah ketabahan dan kekuatan itu dalam diri? Adakah aku manusia yang mampu bersabar dan menerima segalanya dengan redha? Manusia mana yang tidak pernah punya masalah, bumi mana yang tak pernah ditimpa hujan, lautan mana yang tak pernah bergelora.

Melihat permasalahan yang bertimpa2 disekelilingku membuatkan aku merasa takut, bimbang dan curiga. Takut aku juga akan  menerima masalah seperti itu, bimbang aku tidak mampu menghadapinya dan sukar menerimanya. Dan curiga, aku curiga dengan keupayaan aku sendiri. Jauhilah aku dari perkara2 yang tidak2, lindungilah aku daripada perkara yang melukakan.

Perit rasanya melihat insan lain hidup didalam kesakitan. Aku tidak sanggup rasanya untuk berada di dalam situasi sebegitu. Tapi ketentuan Tuhan tidak siapa mampu menghalang, hanya doa yang mampu aku panjatkan agar dijauhkan dari segala kekusutan dan kerunsingan.

Hidup manusia itu tidak selalunya indah. Itu adalah hakikat. Bukan semua manusia itu dilahirkan dengan keberuntungan. Bukan semua manusia itu dilahirkan dengan kesenangan dan kemewahan. Ada yang senang dari segi kewangan tapi diselubungi seribu kekalutan, ada yang sukar hidupnya, sempit hidupnya tapi dadanya lapang kerana tidak punya masalah yang membebankan. Hidup di dalam kesederhaan lebih baik dari bermewah2. Hati tidak risau, kepala tidak pusing memikirkan harta di kiri kanan.

Pernah aku membayangkan bagaimana keadaannya diriku jika aku ditimpa masalah berat nanti. Apakah aku mampu menghadapinya, mampukah aku menerimanya. Mampukah aku meneruskan kehidupanku, cekalkan aku? Jawapannya - aku tidak tahu. Apa yang bakal berlaku hari esok tidak kita ketahuinya hari ini. Biarlah esok tiba, hari ini hadapilah segalanya disini. Esok tetap esok, takkan bertukar menjadi semalam atau hari ini. Biarlah esok dengan harapan yang tidak pernah suram, biarlah semalam dengan kenangan dan memori yang silam, tapi hari ini hadapilah ianya dengan harapan yang bergemerlapan tanpa kesuraman kenangan silam yang kelam ..
Teruskanlah hidupmu dengan keindahan selagi kamu mampu, jauhkanlah dirimu dari kesesatan dan keburukan selagi kamu tahu ianya adalah sesuatu yang merosakkan dan kuatkanlah hatimu menghadapi kesulitan dan tabahkanlah hatimu meneruskan perjalanan. Semoga semuanya bersinar terang dan tidak gelita di tengah jalan. Sekian ...

No comments:

Post a Comment