Dan Kisah Kita !!

Hanya Engkau Yang Mampu & Hanya Aku Yang Tahu !!

Saturday, April 23, 2011

Memori Terindah

Assalamualaikum ...

Kata orang kenangan adalah sesuatu yang paling manis untuk dikenang, yang paling indah untuk disimpan dan yang paling payah untuk dilupakan. Ya, bagi aku juga begitu. Sebut saja kenangan tentulah ianya suatu yang sangat indah dan sangat manis yang pernah berlaku dalam hidup aku, hinggakan payah untuk disingkirkan dari ruang ingatan, sukar untuk dibuang dari fikiran. Kenangan terindah dalam hidup apabila diri dicintai, apabila mendapat sesuatu yang berharga dan bermakna dalam hidup.. Benar, begitu banyak kenangan dan memori di sepanjang hidup manusia itu, begitu juga aku.

Betapa payah dan susahnya untuk aku melupakan kenangan2 silam. Kekadang terasa seperti mahu kembali ke alam kenangan itu dicipta, mahu  berada di zaman kenangan itu dibina semula, kerna ianya begitu indah untuk dilupakan. Sukar untuk ditafsirkan dengan kata2, sukar untuk digambarkan dengan lukisan dan payah untuk diluahkan dengan kata2 dan perbuatan. Zaman remaja yang nakal, zaman kanak2 yang lasak dan zaman dimana sudah matang untuk memulakan perjalanan hidup.

Waktu kecil, berbagai kenangan yang tercipta. Masih lagi segar di ingatanku waktu bermain lopak hujan dan lecak di kampungku dulu, kenangan memanjat pokok2 jambu dan rambutan bersama teman2 sepermainan, dirotan emak dan dileteri sehari semalam kerana mandi hujan dan berenang dalam air banjir. Semuanya menjadi saat2 indah dalam hidupku yang membuatkan aku tersenyum sendiri apabila mengenangkannya. Masih jelas terdengar leteran dan bebelan emak yang memarahi aku kerana tidak mendengar kata dan selalu membuatkan dia marah dan meradang. Bukan aku tidak mahu mendengar katanya tapi aku tidak betah melihat kawan2 bermain di laman sedangkan aku terkurung di dalam rumah.

Masih ingat juga pada saat aku bersama teman2 bermain bola jaring dan bola baling mewakili sekolah kami waktu itu iaitu Sekolah Kebangsaan Binjai. Memang indah saat itu kerna tidak semua pelajar berjaya mewakili sekolah, dan aku bangga menjadi diriku waktu itu kerna berjaya mengharumkan nama sekolah sekaligus menggalas tugas sebagai salah seorang yang bertanggungjawab menaikkan nama sekolah. Lebih membanggakan lagi sekolah kami waktu itu menjadi salah satu sekolah yang cukup digeruni pihak lawan. Sebut saja Noramzalina Razali, itu adalah captain bagi pasukan kami. Penyerang yang cukup menyengat untuk menggegarkan gawang lawan.

Tapi itu semua cerita di zaman kanak2 aku. Masuk sekolah menengah, aku bersekolah di Sekolah Menengah Chukai sementara ramai kawan2 lain bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Ismail. Kerana berlainan sekolah kami jarang berjumpa tapi persahabatan itu tidak pernah terputus. Cuma keadaan dan waktu yang memisahkan. Tapi benarlah kata orang, makin luas pergaulan kita, makin ramailah sahabat dan kenalan baru yang akan kita jumpa.

Di sekolah menengah aku bertemu pula dengan kawan2 baru, yang tidak kurang hebatnya berbanding sahabatku di waktu sekolah rendah dahulu. Marlina Othman, Atisah Abdul Mutalib, Faizatul Hanim Idris, Aida Abu Bakar dan Zaharah Mat Aris, kenangan bersama kalian tidak mungkin akan aku lupakan. Disinilah aku mengenal erti persahabatan, pergaulan dan persefahaman. Antara kita begitu banyak kenangannya yang tercipta. Dua tahun bersama begitu merapatkan hubungan sesama kita, begitu mengakrabkan persahabatan kita.

Kenangan indah waktu di sekolah menengah memang terlalu banyak, di denda kerana tidak menyiapkan kerja sekolah, ponteng kelas, melepak dan melanggar disiplin sekolah itu sudah menjadi kebiasaan kami. Bukanlah aku berbangga dengan segala keburukan itu tapi disebalik buruknya melakukan kesilapan2 itu ada kemanisannya untuk aku kenangi. Betapa saat di denda guru kerana tidak siapkan kerja sekolah dan menyalin nota yang diberikan begitu menakutkan. Tapi ketakutan itu pula sekarang menjadi satu perkara yang melucukan untuk dikenang. Itulah kesilapan yang aku lakukan yang aku perlu elakkan daripada berulang kepada anak2 aku.

Paling tidak dapat aku lupakan bila tiba saat untuk menghadapi peperiksaan. Kesemua kawan2 ku itu akan mencari2 aku dan mahukan aku duduk diantara mereka kerana senang nak bertanya jawapan waktu peperiksaan nanti. Saat itu aku menjadi seorang yang amat penting dalam kehidupan mereka, aku umpama perpustakaan bergerak untuk mereka rujuk apabila ada soalan yang tidak mereka faham. Lucu sekali apabila teringatkan saat itu. Terkial2 memberikan isyarat tangan atau jari semata2 mahu menolong mereka.

Alam remaja memang sukar dilupakan, kerana alam remajalah segalanya bermula. Ini adalah permulaan hidup. Di waktu remajalah kami belajar menjadi seorang perindu, menjadi seorang kekasih, menjadi seorang pecinta, menjadi seorang sahabat, menjadi seorang pelajar, menjadi seorang anak, menjadi seorang murid dan menjadi seorang yang mula khayal dengan dunianya sendiri. Di waktu remaja inilah dugaan dan godaan kuat yang perlu kita hadapi. Bijak mengawal situasi dan keadaan, bijaklah mengawal diri dari terpengaruh dengan perkara yang bukan2. Syukur, aku masih tahu menjaga batas2nya walaupun sedikit nakal. Alhamdulillah.

Semua yang indah2 aku pahatkan kemas di ingatan. Tidak mahu aku kehilangannya. Biarlah yang terindah itu kekal bersama ku hingga ke akhir hayat, biarlah yang manis dan lucu itu aku kenang hingga ke hujung nyawa. Kenangan itu tidak mungkin akan dapat ditukar ganti kerana terciptanya memori itu bukanlah secara dirancang dan dikawal, ianya tercipta dengan sendiri, tanpa aku mengaturnya.

Setiap orang ada waktu2 bersendirian, ada waktu2 untuk bergelak ketawa bersama keluarga dan rakan2. Begitu juga aku, hanya kenangan itulah yang menjadi peneman dikala aku merindukan kenangan2 silam dan gelak tawa teman2 seperjuangan yang sudah lama tidak ku temui. Syukurlah, dengan kecanggihan teknologi sekarang, aku dapat juga bertemu mereka kembali biarpun hanya sebahagian yang aku temui sedangkan sebahagian daripada mereka masih lagi aku tercari2. Terima kasih teman2 yang masih ingat pada aku disini, yang masih sudi menemani aku dan masih sudi bersahabat denganku. Terima kasih juga pada mereka yang sudah sama2 mencipta kenangan dan memori terindah dalam hidupku, kenangan bersama kalian tidak mungkin akan aku lupakan. Biarlah ianya hilang bersama usia dan waktu. Biarlah ia kekal di dalam ingatanku sehingga ke akhir waktu.

Sekarang, aku sudah bergelar isteri dan ibu kepada dua puteri ku yang comel.Sekejap saja masa berjalan, perkahwinan ku juga sudah masuk tahun ke 9 Ogos ini. Begitu pantas waktu meninggalkan sejarah. Sejarah2 silam akan aku pahatkan diingatanku. Semoga sahabat2 yang masih aku rindukan dapat aku temukan di waktu terdekat ini, rindu begitu mencengkam dada, apa khabar agaknya mereka ..Sekian ..

1 comment:

  1. as salam..hurm, bleh tau sape kah empunyer blog nie? kelihatan nama sy ditulis dlm citer anda.. =)

    ReplyDelete