Dan Kisah Kita !!

Hanya Engkau Yang Mampu & Hanya Aku Yang Tahu !!

Wednesday, April 27, 2011

Sisipan Aprilku


 Di penghujung bulan April yang panjang ... Hanya tinggal beberapa hari saja lagi, kita akan melangkah ke bulan Mei. Bulan yang penuh dengan keharmonian dan warna warni ku harap.. Insyaallah. Sudah beberapa hari jugak aku tidak meluahkan lakaran disini. Semuanya kerana terlalu sibuk dengan urusan sehari2. Baik dari segi kerja rumah yang sudah menjadi rutin harianku, hinggalah kepada urusan anak2 dan suami tercinta, juga urusan bersama kucing2 kesayanganku. Semuanya aku yang perlu uruskan, sampaikan sudah seperti tidak ada masa lagi untuk diri sendiri. Nak melayan FB pun sekarang ini menjadi tidak sempat kerana tumpuan waktu dan tenagaku aku hadapkan kepada anak2 ku. Mereka sekarang sudah semakin membesar dan pemantauan yang lebih diperlukan, apalagi si kakak dan si adik langsung tidak boleh dibiarkan bersama. Asyik nak bercakar saja kerjanya, tapi dah nama pun adik beradik, sekejap bercakap sekejap nanti berbaik balik. Hehehe!!!

Urusan penjualan melalui online yang aku jalankan sekarang ini juga semakin perlahan. Bukan kerana tidak mendapat sambutan dari pelanggan, tapi stok kain dan jubah yang didatangkan dari Indonesia tersangkut di pejabat Kastam. Jadi dua minggu jugak aku tersadai tidak dapat melakukan jualan. Syukurlah sekarang semuanya sudah kembali bermula semula. Harapnya tiada lagi masalah seperti ini, insyaallah.

Alhamdulillah, sekarang suamiku sudah mula menjalankan projeknya. Sudah kembali bekerja seperti biasa jugak. Setidak2nya sekarang ada ruang untuk kami bernafas. Alhamdulillah, itulah rezeki Allah. Tidak dapat kita jangkakan, harapnya makin murahlah rezeki kami selepas ini, insyaallah.

Sudah dua hari aku tidak mengupload ape2 gambar disini. Rasanya jiwaku sedikit tenteram jika melihat gambar2 pemandangan yang menghijau atau gambar2 bunga2an yang mengharum berkembang. Sungguh jiwaku tenang memandangnya, cukup mendamaikan jiwaku yang keliru dan celaru. Cantik dan begitu mengagumkan aku. Terlintas jugak di fikiranku kini, aku mahu memiliki kamera digital Nikon, senang aku nak tangkap gambar. Tapi, merakam gambar2 yang menarik itu bukanlah semudah yang aku sangka. Semuanya memerlukan pengorbanan dan ilmu pengetahuan. Perlu tahu bagaimana mahu mengaplikasikan situasi dan keadaan supaya dapat mendatangkan gambaran yang menarik. Perlu skill untuk merakam pelbagai bentuk dan rupa, supaya keaslian gambar itu terjaga. Semua itu perlu aku pelajari, tapi daripada mana?

Teknik2 yang betul perlu aku dapatkan.. kata orang kalau hati sudah suka, apa saja sanggup dilakukan. Dan itulah yang akan aku lakukan sekarang, aku mahu belajar. Insyaallah, akan tercapai walaupun bukan sekarang. Bermula hari ini aku akan kembali sibuk dengan jualan2 online. Insyaallah, jika masih ada rezeki, semuanya akan berjalan dengan lancar.

Terkaku seketika aku tika mataku memandang ke awan. Langit nan membiru dengan lambaian dedaun kelapa dan rhu yang berdiri teguh di sepanjang jalan ke rumahku rupanya begitu cantik. Alangkah indahnya jika aku dapat mengekspresikannya di dalam bentuk gambar. Dengan desiran angin yang sepoi2 bahasa, bersama deruan ombak yang menghempas pantai, semuanya cukup menghiburkan. Menenangkan jiwaku yang rawan.

Dengan padang yang menghijau, seketika aku terpana, sungguh indah bumi ciptaan Tuhan ini. Sungguh damai rasa dihati apabila memandang ciptaan2 Ilahi yang tiada tolok bandingannya. Betapa kerdilnya aku di alam fana ini, betapa bertuahnya aku kerana dilahirkan didunia ini.. betapa bertuahnya aku kerana masih bernafas hingga ke hari ini, betapa bertuahnya aku kerana diberikan peluang untuk menghirup udara nyaman di bumi Allah ini. Semuanya cukup indah dan damai, tenang dan memberangsangkan jiwa, syukurlah .. syukur atas segala limpahan rahmat -Nya..

Semoga masih ada esok untukku, semoga masih ada esok yang sebegini indahnya, semoga masih ada esok yang membawa harapan, semoga esok menjadi hari yang terindah dan terbaik dalam kehidupan seharianku .. semoga esok hari yang penuh sinar dan kebahagiaan .. Semoga esok takkan berakhir dengan kekecewaan dan kesedihan...

No comments:

Post a Comment